Sunday 16 July 2017

KHIDMAS DALAM KRS


khidmat Masyarakat adalah salah satu item yang menjadi kurikulum KRS mahupun TKRS. Pada dasarnya, khidmas memberikan pengalaman kepada anggota untuk bergaul dengan masyarakat, belajar memberi dan menerima serta menanam sikap pengasih, penyayang sesama insan.


Namun yang menjadi persoalan, apakah Khidmas hanya sekadar gotong royong di sekolah sahaja? Aruah Mejar Thani Shaaban sering membawa pelajar-pelajar bergotong royong di pusara bersama penduduk setempat atau membantu dalam kenduri kendara yang akhirnya diberikan balasan lauk pauk untuk di bawa pulang. Ini jelas menunjukkan bahawa Khidmas membawa peranan penting dalam memperkenalkan KRS kepada masyarakat, membawa KRS kepada masyarakat serta memasyarakatkan pergerakan KRS itu sendiri.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan jika kita menyentuh soal Khidmas. Dari membersihkan serta menceriakan kelas hingga membawa kepada penulisan tentang sejarah setempat. Pelajar-pelajar boleh merancang aktiviti menceriakan kelas. Wujudkan pembahagian tugas yang sistematik kemudian laksanakan tugas dengan betul dan baik. Selepas itu, buat laporan dalam buku log tentang apa yang anda lakukan. Minta guru kelas mengesahkan apa yang anda lakukan.

Atau anda boleh menetapkan satu tajuk untuk dijadikan kajian. Bukankah pelajar Tingkatan 1 hingga 3 membuat kajian tempatan. Kajian anda itu boleh dijadikan bahan untuk Khidmas. Yang penting minta pengesahan guru mata pelajaran sejarah anda.

Akhir bicara untuk entri ini, kawat memanglah identiti KRS tetapi jika terlalu asyik berkawat bila masanya kita mahu menerapkan unsur-unsur kurikulum yang lain dalam jiwa anggota KRS. Tanpa penyemaian ilmu yang ditetapkan dalam kurikulum KRS ke dalam jiwa pelajar, sebenarnya kita gagal melahirkan KRS seperti yang diharapkan.